Suspek disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana penggunaan pakaian atau peralatan polis tanpa kebenaran.
SEORANG lelaki ditahan polis selepas tular sebuah video di TikTok memaparkan dia memakai jaket (vest) dan topi keledar dengan lambang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran.Kejadian dipercayai berlaku pada 17 April lalu, dengan video berkenaan dipercayai dirakam bagi tujuan kandungan media sosial. Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular itu pada Rabu sebelum bertindak menahan suspek.“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang ditahan di kawasan USJ, Subang Jaya bagi membantu siasatan. Dia akan direman untuk siasatan lanjut."Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana penggunaan pakaian atau peralatan polis tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.Hasil semakan mendapati suspek dipercayai seorang pencipta kandungan aktif di TikTok dengan lebih 560,000 pengikut.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.