SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun didapati positif dadah ketika berada di bawah jagaan seorang pempengaruh.Susulan itu, pempengaruh terkenal dari Melaka itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh pegawai perubatan Hospital Melaka selepas menerima dan merawat mangsa dalam keadaan separuh sedar kira-kira pukul 5 petang, 14 April lalu. Beliau berkata, pengadu memaklumkan hasil ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak tersebut positif bahan terlarang jenis Tetrahydrocannabinol (THC).“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa anaknya sebelum itu diambil dari sebuah rumah pengasuh di Sungai Putat sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.“Sebelum kejadian, pada 11 April, mangsa turut dilaporkan menerima bantuan pernafasan melalui tiub di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.Tambah Dzulkhairi, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang ke rumah.Mengulas lanjut beliau berkata, susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah menahan suspek yang berusia 39 tahun kira-kira pukul 9.30 malam pada 15 April lalu.“Suspek merupakan seorang pempengaruh media sosial dan dipercayai mempunyai kaitan dengan penjagaan mangsa melalui ahli keluarganya.“Bagaimanapun tiada sebarang rampasan dilakukan ketika tangkapan dilakukan dan semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Ujian saringan air kencing ke atasnya adalah negatif,” ujarnya sambil menyatakan suspek telah direman selama tujuh hari bermula 16 April dan disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.Ujarnya lagi, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 April dan kini menunggu arahan lanjut.