suria

mStar Baek - KPJ terus kerjasama impak besar, turun padang santuni komuniti memerlukan

Penerima sumbangan bergambar bersama (dari kiri) Datin Paduka Esther Ng, Chan Seng Fatt, Tan Sri Johan Jaaffar, Chan Seng Fatt.

SEGMEN mStar Baek terus mengorak langkah dengan mencipta impak signifikan dalam usaha memenuhi kebajikan komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama KPJ Healthcare.

Bersandarkan kejayaan luar biasa musim-musim terdahulu, segmen yang disiarkan di semua platform digital mStar ini konsisten menyalurkan sumbangan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk artis, selebriti serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Sempena penganjuran musim keempat, sebanyak lapan episod diterbitkan dengan menampilkan empat artis antaranya ialah Adrian Adam Khairil Izhar, anak kepada pelakon Amyza Aznan yang menghidap kanser paru-paru.

Turut dipaparkan adalah perjalanan hidup pelakon Harun Hashim yang menghidap penyakit kronik termasuk mata kiri yang tidak berfungsi dan dramatis Shahriza Mahmud yang mengalami masalah saraf serta kegelinciran tulang.

Tidak dilupakan adalah semangat atlet paralimpik kebangsaan dalam sukan boling, Haziq Danish yang membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan.

mStar Baek bersama KPJ Healthcare turut menyantuni Muhammad Aqil Rayyan, 16, yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil. 

Chin Keat Chyuan memberi ucapan berhubung kolaborasi mStar Baek - KPJ.

Chin Keat Chyuan memberi ucapan berhubung kolaborasi mStar Baek - KPJ.

Segmen pada musim keempat ini menemui penonton sejak 10 April 2026 dan rakaman melibatkan individu terpilih masih lagi berlangsung.

Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata segmen mStar Baek kali ini menampilkan kelainan tidak hanya tertumpu kepada selebriti sebaliknya mereka dalam kalangan orang kurang upaya (OKU). 

Lebih menarik, KPJ Healthcare terus menjadi penaja utama segmen ini dalam usaha mereka bekerjasama membantu golongan memerlukan. 

“Kami amat bersyukur kerana sudah empat musim mStar Baek bersiaran dan tahun ketiga berkolabirasi bersama KPJ Healthcare. 

“Selain itu kami berharap segmen ini dapat diteruskan pada musim berikutnya agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu,” katanya. 

Dalam pada itu Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, penjagaan kesihatan bukan hanya berlaku di hospital.

Aisya Retno menghiburkan tetamu dengan Jodoh Lebaran.

Aisya Retno menghiburkan tetamu dengan Jodoh Lebaran.

Sebaliknya ia melibatkan usaha untuk turun padang bagi mendengar sendiri cabaran yang dihadapi serta membantu mereka dalam kehidupan seharian.

“Ini merupakan tahun ketiga kerjasama kami bersama Star Media Group menerusi program mStar Baek, yang mencerminkan komitmen bersama untuk terus menyumbang kepada masyarakat secara bermakna.

“Melalui inisiatif mStar Baek, kita bukan sahaja memberikan sumbangan, tetapi juga membuka akses kepada rawatan dan sokongan kesihatan melalui rangkaian kami seperti Klinik Waqaf An-Nur.

“Apa yang saya perhatikan, program seperti ini juga mengingatkan kita bahawa di luar sana, ramai yang sedang berdepan dengan cabaran hidup yang tidak kita nampak setiap hari,” ujarnya. 

Dalam pada itu beliau meluahkan keyakinan bahawa kolaborasi yang terjalin membolehkan pihaknya memperluas akses kepada komuniti yang memerlukan serta menyokong kesejahteraan mereka secara lebih menyeluruh, selaras dengan komitmen Care for Life.

Untuk rekod, musim pertama mStar Baek ditaja oleh Noir Health & Beauty.

Artikel Lain