suria

Pasangan aksi ‘berahi’ di jirat cina bebas awal, hukuman penjara disemak semula

Pasangan yang melakukan aksi tidak senonoh ketika ditahan polis pada Mac lalu.

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang pada Selasa mengenepikan hukuman penjara 12 bulan terhadap pasangan kekasih yang melakukan perbuatan tidak senonoh di jirat Cina, Batu Gantung, Air Itam pada Mac lepas.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan tersebut selepas membenarkan semakan hukuman jenayah yang dimohon pihak pembelaan, Datuk Naran Singh terhadap M. Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37.

Rofiah memutuskan bahawa sabitan bersalah terhadap kedua-dua tertuduh tersebut dikekalkan manakala hukuman penjara 12 bulan diputuskan oleh Majistret sebelum ini diganti dengan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 23 Mac 2026 sehingga Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktiviti ‘berahi’ di jirat Cina tergendala! Wanita rakam pasangan berbogel atas batu nisan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar memaklumkan pihak pembelaan telah mengemukakan representasi kepada pendakwaan dan setuju sabitan dikekalkan dengan semakan tertumpu kepada hukuman.

Pada 22 Mac lalu, polis menjalankan siasatan berhubung satu video tular memaparkan sepasang lelaki dan wanita melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan di George Town, Pulau Pinang.

Susulan itu, selepas ditahan pasangan tersebut dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret pada 26 Mac lalu selepas mereka membuat pengakuan bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun.

 

Artikel Lain