POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular memaparkan sepasang lelaki dan wanita melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan di George Town, Pulau Pinang.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan insiden berkenaan. "Siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada kejadian itu berlaku baru-baru ini atau merupakan kes lama," katanya pada Isnin.Jelas Azizee, kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah tanah perkuburan di negeri berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama.Sejak Ahad, tular rakaman video berdurasi 39 saat di media sosial memaparkan pasangan terbabit dalam keadaan tidak senonoh di kawasan jirat Cina.Dalam rakaman itu, seorang lelaki dilihat berbogel sepenuhnya dengan membelakangi kamera, manakala seorang wanita berpakaian separa bogel duduk di atas sebuah batu nisan.Perbuatan mereka bagaimanapun ‘terganggu’ apabila seorang wanita yang merakam video bertindak menegur serta memarahi pasangan berkenaan."Sudah tangkap (ambil video) ya. Sudah beberapa kali orang ini bikin kotor dekat sini (tanah perkuburan)."Saya akan hubungi polis. Kamu tunggu," ujar individu yang merakam video berkenaan.Rakaman itu turut menunjukkan lelaki terbabit memakai semula seluarnya, manakala wanita yang merakam video terus memarahi mereka kerana tidak menghormati tempat tersebut.Permohonan maaf lelaki tersebut bagaimanapun ditolak, dan wanita berkenaan memaklumkan akan membuat laporan polis."Sini orang sembahyang untuk orang mati, awak berdua buat hal sana. Saya tak mahu (terima) sorry (permohonan maaf). Saya telefon polis," katanya lagi.