suria

Potong tak lepas… Anggota tentera tunggang RXZ maut, putus tangan kanan

Kemalangan menyebabkan kematian seorang tentera dalam kejadian awal pagi Isnin tersebut.

CUBAAN memotong kenderaan dipercayai menjadi punca seorang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka pada awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala serta putus tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Sungai Udang menghala ke Pengkalan Balak cuba memotong sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa bertembung dengan sebuah motosikal jenis SYM VF3i dan kereta Proton Saga yang datang dari arah Pengkalan Balak menghala ke Sungai Udang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zaki berkata, penunggang motosikal SYM VF3i berusia 18 tahun mengalami patah kaki dan tangan kanan serta kini dirawat di Hospital Melaka.

Pemandu Proton Saga yang merupakan seorang wanita berusia 29 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat anggota tentera itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain