SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun meninggal dunia selepas menjadi mangsa perbuatan kejam neneknya sendiri yang bertindak membakarnya selepas mereka berselisih faham.Mangsa yang berasal dari Depok, Jawa Barat, Indonesia, itu dilaporkan koma sejak 30 Oktober selepas mengalami luka lecur sehingga 80 peratus pada tubuhnya, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Ahad. Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Metro Depok, AKP Tamar Bekti, berkata kejadian berlaku pada 26 Oktober lalu berpunca apabila mangsa tidak menuruti permintaan suspek.Pada hari kejadian, suspek yang berusia 64 tahun meminta mangsa menjemputnya di rumah seorang rakan. Bagaimanapun, mangsa tidak memenuhi permintaan tersebut dan sebaliknya memilih untuk pulang ke rumah.Sebaik tiba di rumah, suspek mendapati mangsa sedang bermain telefon bimbit lalu menegurnya.Kedua-duanya sempat bertikam lidah sebelum suspek bertindak mengambil minyak tanah lalu menyiramnya ke tubuh mangsa dan kemudian mencampakkan pemetik api ke arah kain yang dipakai mangsa sehingga api menyambar tubuh remaja berkenaan.Suspek yang panik melihat api menjilat tubuh mangsa bagaimanapun sempat cuba memadamkan api dengan menyiramkan air ke tubuh mangsa.Mangsa dikejarkan ke hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal.Susulan kejadian itu, suspek ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut. -Agensi