MEMBUKA kelas tuisyen di rumah menjadi pilihan sesetengah tenaga pengajar untuk berkongsi ilmu sambil menjana pendapatan.Namun, rutin seorang wanita menerima kunjungan bapa kepada murid-muridnya didakwa mencetuskan rasa curiga suami sehingga berakhir dengan tragedi. Dalam kejadian di Nalasopara, daerah Palghar, India, pada Sabtu, seorang guru tuisyen, Tabassum Khan, 41, didakwa dibunuh suaminya, Majid Khan, 50.Menurut seorang pegawai polis, pasangan yang menetap di Takipada itu sering bertengkar susulan perasaan curiga lelaki berkenaan terhadap isterinya.Mangsa mengendalikan kelas tuisyen di kediaman mereka, menyebabkan bapa beberapa murid kerap berkunjung ke rumah tersebut.Bagaimanapun, kunjungan itu menimbulkan syak wasangka Majid terhadap isterinya.Perasaan curiga yang semakin menebal itu membuatkan suspek mencekik Tabassum pada awal pagi kemudian sehingga mangsa meninggal dunia.Dia kemudian melarikan diri dari rumah ke selatan Mumbai sebelum turut ditemukan meninggal dunia, dipercayai akibat bunuh diri.Polis memaklumkan kes bunuh didaftarkan terhadap lelaki berkenaan, manakala siasatan lanjut mengenai kedua-dua kematian masih dijalankan. -Agensi