Perselisihan faham yang tidak ditangani dengan pertimbangan waras boleh mengundang padah sehingga membawa kepada tindakan di luar kawalan. -Gambar hiasan AI
SEORANG lelaki berusia 39 tahun tergamak menikam anak saudaranya sendiri sehingga maut dipercayai akibat perselisihan faham yang berpunca daripada perkara kecil.Kejadian tragis itu berlaku di Kampung Sindangsari, Kecamatan Cibalong, Garut, Indonesia, kira-kira pukul 9 malam, 5 November lalu. Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Garut, AKP Herman Saputra, kejadian bermula apabila suspek yang dikenali sebagai Opik bersama mangsa dan beberapa rakan berkumpul di majlis jamuan makan di rumah saudara mereka.Bagaimanapun, majlis yang pada awalnya berlangsung seperti biasa bertukar menjadi tragedi selepas mangsa dipercayai mengeluarkan komen mengenai sambal yang dihidangkan.Herman menjelaskan, berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang berusia 21 tahun menegur sambal yang didakwa terlalu masin.Komen tersebut menimbulkan rasa kurang senang suspek dan dia bertindak memarahi mangsa.Suspek dikatakan menganggap mangsa tidak bersyukur kerana sudah diberikan makanan. Selepas majlis selesai dan tetamu lain beredar, suspek yang masih tidak berpuas hati dengan mangsa bertindak di luar kawalan dengan menikam anak saudaranya itu."Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan, dada dan perut," kata Herman.Mangsa yang parah ditemukan oleh ibu bapanya yang turut berada di lokasi kejadian.Dia segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun akhirnya disahkan meninggal dunia.Polis berjaya menahan suspek beberapa jam selepas kejadian dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Garut untuk tindakan lanjut. -Agensi