suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

AGC nafi derhaka isu tahanan rumah Najib, mahu penjelasan mahkamah bagi elak percanggahan undang-undang

Jabatan Peguam Negara menafikan pihaknya menderhaka titah Agong.

JABATAN Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan menderhaka atau cuba mengatasi kuasa diraja susulan tindakan mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, AGC menjelaskan langkah tersebut bertujuan mengelakkan percanggahan undang-undang antara perintah mahkamah dan pelaksanaan hukuman yang saling berkait.

Menerusi kenyataan pada Sabtu, AGC menjawab dakwaan firma guaman yang mewakili Najib, Shafee & Co., bahawa Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasa, mengingkari titah diraja serta meneruskan penahanan bekas Perdana Menteri itu secara tidak sah.

AGC menegaskan pihaknya mengiktiraf sepenuhnya kuasa pengampunan diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan itu juga tidak mempertikaikan atau berusaha menangguhkan Titah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, menurut AGC, persoalan perundangan timbul selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta pada Jumaat, disusuli pengeluaran Perintah Pelepasan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengampunan bersyarat Najib jelas dan sah, Agong ingatkan jangan ingkar titah tahanan rumah

Jelasnya, isu utama adalah mengenai kesan perintah pelepasan dalam kes SRC International terhadap pelaksanaan baki hukumannya serta kaitannya dengan hukuman bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut AGC, mahkamah sebelum ini menetapkan hukuman penjara Najib dalam kes 1MDB perlu bermula sejurus hukuman kes SRC International selesai.

Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kes 1MDB juga ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu.

"Sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat kuasa, tiada isu berhubung pelaksanaan baki hukuman secara tahanan rumah.

"Bagaimanapun, jika hukuman kes SRC International dianggap selesai di sisi undang-undang selepas pembayaran denda, mahkamah perlu menentukan kesan tepatnya terhadap tarikh bermulanya hukuman kes 1MDB," menurut kenyataan itu.

AGC menjelaskan usaha mendapatkan tafsiran mahkamah turut bertujuan melindungi hak Najib.

Tanpa penjelasan mengenai kedudukan undang-undang tersebut, wujud risiko beliau ditahan secara tidak sah melebihi tempoh hukuman atau berlakunya percanggahan dalam perintah pelaksanaan.

"Usaha mendapatkan tafsiran kehakiman mengenai bagaimana sesuatu perintah perlu dilaksanakan mengikut undang-undang sedia ada bukanlah cubaan mengambil alih kuasa pengampunan diraja atau mempersoalkan kewibawaan Raja," menurut kenyataan itu lagi.

Penjelasan AGC itu dibuat pada hari sama Istana Negara mengeluarkan titah rasmi yang menegaskan pengampunan bersyarat terhadap Najib adalah jelas, nyata dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Pengampunan yang diperkenankan pada 18 September itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah selepas menjelaskan denda RM50 juta.

Istana Negara turut menegaskan semua syarat ditetapkan telah dipenuhi dan sebarang hujah yang mempertikaikan atau melengahkan pelaksanaan perintah tersebut disifatkan sebagai mengingkari titah baginda.

Artikel Lain