Untuk memastikan gigi sentiasa bersih dan sihat, waktu menggosok gigi adalah perkara yang perlu diberi perhatian. -Gambar hiasan/Agensi
PENJAGAAN kebersihan mulut merupakan antara perkara menjadi keutamaan bagi kebanyakan individu, terutamanya ketika berada di tempat kerja dan perlu berhadapan dengan orang ramai.Untuk memastikan mulut sentiasa segar dan bebas sisa makanan, terdapat segelintir daripada kita mengamalkan tabiat memberus gigi sejurus selepas menikmati hidangan tengah hari di pejabat. Bagaimanapun, satu perkongsian oleh seorang pengguna di Threads baru-baru ini membuka mata ramai pihak apabila tabiat yang disangka baik itu rupa-rupanya boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan gigi. "Rakan sepejabat pelik, kenapa selepas makan tengah hari kena berus gigi? Ke sebab pagi tadi tak gosok gigi? "Malas aku nak jawab," tulis wanita berkenaan sambil memuat naik foto set berus dan ubat gigi miliknya. Hantaran yang meraih perhatian ramai itu kemudiannya mendapat maklum balas daripada seorang doktor gigi yang menggunakan nama akaun dr_habubu. Menurut doktor berkenaan, persoalan dibangkitkan rakan sepejabat wanita itu sebenarnya mempunyai asas yang baik dari sudut kesihatan pergigian. Jelasnya, orang ramai sebenarnya tidak digalakkan untuk terus memberus gigi sejurus selepas makan kerana ia boleh menyebabkan struktur gigi menjadi lebih cepat rosak. "Sebenarnya soalan rakan sepejabat itu bagus sebab kita memang tidak boleh terus gosok gigi selepas makan."Makin rosak gigi sebab tahap pH dalam mulut selepas makan akan menjadi berasid, sekali gus menyebabkan lapisan gigi kita menjadi 'lembut'. "Jadi kalau kita terus gosok gigi, ia mungkin akan menghakis lagi lapisan gigi tersebut dan menyebabkan gigi menjadi semakin kuning. "Tidak mengapa, setiap hari kita belajar benda baharu, Sekarang anda pun dah tahu," jelasnya.