Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph ketika menyampaikan ucapan pada anugerah Asia ESG PIA 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) Convention Centre baru-baru ini.
USAHA memperkukuh amalan kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus (ESG) memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan memberi impak besar kepada masyarakat.Sehubungan itu, Asia ESG Positive Impact Awards (PIA) 2026 bukan sahaja menjadi platform mengiktiraf pencapaian syarikat dalam bidang tersebut, malah membuka ruang kerjasama dan perkongsian ilmu bagi negara di rantau Asia Tenggara. Dianjurkan oleh Asia ESG Positive Impact Consortium yang terdiri daripada Star Media Group (SMG) dari Malaysia, Media Group Kompas Gramedia (KG Media) (Indonesia) dan Inquirer Group of Companies (IGC) (Filipina), anugerah itu menyaksikan 40 syarikat dari tiga buah negara telah membawa pulang sebanyak 52 pengiktirafan.Ketua Komunikasi Korporat Energy Development Corporation dari Filipina, Francis Ariola berkata, kerjasama antara organisasi amat penting kerana usaha memperkukuh agenda ESG tidak boleh dilakukan secara bersendirian."Lebih banyak organisasi bekerjasama merentasi rantau, lebih banyak amalan yang dapat dikongsi dan kita boleh belajar antara satu sama lain."Itulah sebabnya Asia ESG Positive Impact Awards sangat penting, ia menjadi platform untuk berkongsi pengalaman supaya pihak lain tidak perlu mengulangi kesilapan yang pernah kami lakukan ketika mula melangkah dalam bidang ini," katanya.Energy Development Corporation membawa pulang anugerah emas bagi kategori Pemuliharaan Biodiversiti serta perak (Tenaga Boleh Baharu).Sementara itu, Naib Presiden Pembantu Kelestarian Global Jollibee, Elise D. Veloso berkata, platform serantau itu turut memberi isyarat kepada masyarakat bahawa aspek kelestarian dan ESG merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian.Syarikat makanan segera dari Filipina itu memenangi anugerah emas bagi kategori Pengurusan Sisa dan Kecekapan Tenaga dalam kategori syarikat besar.Anugerah Asia ESG 2026 membuka ruang kerjasama dan perkongsian ilmu bagi negara di rantau Asia Tenggara.Di Malaysia, Ketua Pegawai Kelestarian Alliance Bank Malaysia, Roy Heong menyifatkan kerjasama strategik sebagai antara faktor utama kejayaan bank berkenaan meraih anugerah emas bagi kategori Rantaian Bekalan Mampan."Semua ini berkait rapat dengan jalinan kami bina di peringkat tempatan dan serantau bersama pihak yang menawarkan rantaian bekalan mereka untuk bekerjasama dengan kami."Justeru, kerjasama merupakan kunci utama kepada kejayaan Alliance Bank dalam bidang ESG," katanya.Dalam pada itu, Asia ESG Positive Impact Awards mempertandingkan 12 kategori yang merangkumi syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan.Bagi melayakkan diri ke peringkat serantau, setiap peserta perlu terlebih dahulu meraih anugerah emas dalam pertandingan di negara masing-masing iaitu ESG Positive Impact Awards anjuran SMG, Lestari Awards (KG Media) dan ESG Edge Impact Awards (IGC).Selain majlis penyampaian anugerah, sesi suai kenal turut diadakan sebelum majlis makan malam dimulakan bagi membolehkan para finalis bertukar pandangan, berkongsi idea dan membina hubungan kerjasama yang baharu.Bagi syarikat yang menerima pengiktirafan, anugerah itu bukan sekadar penghargaan terhadap usaha kelestarian yang dilaksanakan, malah menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh komitmen ESG pada masa hadapan.Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif YTY Industry Sdn Bhd, Vikram Hora berkata, pengiktirafan emas bagi kategori Hak Asasi Manusia dan Standard Buruh dalam kategori syarikat besar menjadi dorongan kepada pihaknya untuk terus mencapai matlamat ESG."Anugerah ini serta sokongan Star Media Group menggalakkan kami meneruskan usaha mencapai matlamat tersebut secara mampan dan konsisten. "Kami berharap dapat meningkatkan standard syarikat serta pemain lain dalam industri," katanya.Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah PT Triputra Agro Persada Tbk, Widyantoko Sumarlin berkata, pengiktirafan yang diterima mengukuhkan lagi komitmen pihaknya untuk mempergiat usaha mencapai sasaran neutral karbon. Syarikat dari Indonesia itu meraih anugerah emas bagi kategori Tenaga Boleh Baharu dalam kategori syarikat besar.Pengarah Eksekutif Hurricane Geo Inspection Survey Sdn Bhd, Alffi Syahrin pula menyifatkan kemenangan emas bagi kategori Kesihatan dan Kesejahteraan Baik untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan sebagai pengiktirafan bermakna terhadap usahanya dalam aspek kebajikan."Bagi saya, ini bukan pencapaian terakhir, sebaliknya penanda aras baharu untuk kami terus memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam aspek kesejahteraan," katanya.