PELAKON Iman Zulkarnain mendedahkan dirinya berdepan tekanan emosi ketika menjayakan watak utama dalam filem Bisikan.Akibatnya, ujar Iman, 35, ia memberi kesan besar terhadap kehidupan peribadi yang menjejaskan rumah tangga sehingga berakhir dengan perceraian. Iman berkata, dia mengalami gangguan kegelisahan (anxiety), serangan panik (panic attack) dan hilang keyakinan diri akibat terlalu tertekan untuk memberikan lakonan terbaik dalam filem itu.Perkahwinan Iman lebur akibat masalah gelisahan dan serangan panik kronik yang dialaminya.Menurutnya, tekanan tersebut turut menyebabkan dia sukar mempercayai orang sekeliling, termasuk bekas isteri, sekali gus mencetuskan masalah komunikasi dalam rumah tangga mereka.“Sejujurnya, selepas selesai menjalani penggambaran, keadaan saya tidak begitu baik. Bukan kerana terbawa-bawa dengan watak, tetapi tekanan untuk menjayakan karakter itu terlalu berat.“Ketika itu juga merupakan kali pertama saya memegang watak utama. Saya mula berlakon pada 2016 dan pada 2019 terus diberikan watak utama untuk filem ini.“Saya merasakan tanggungjawab itu di luar kemampuan sendiri. Apabila berada di set, kita sudah tentu mahu memberikan lakonan terbaik.“Perkara itu memberikan tekanan kepada saya sehingga selepas penggambaran selesai, keyakinan diri saya hilang dan saya mula mempunyai masalah kepercayaan terhadap orang sekeliling,” katanya.ARTIKEL BERKAITAN: Kembali ikut program dakwah selepas 18 tahun tinggal, Iman Zulkarnain malu kerana banyak dosaARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Iman Zulkarnain nasihat pelakon watak gay Danish Iskandar tidak melatah, kekal positif biarpun dikecamIman berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pra-tayangan filem Bisikan di Damansara, Selangor pada Jumaat.Tambahnya, tekanan dialami turut memberi kesan terhadap rumah tangga apabila dia mula melemparkan pelbagai tuduhan terhadap bekas isteri sehingga hubungan mereka semakin renggang dan akhirnya membawa kepada perceraian.“Saya sukar mempercayai sesiapa sehingga perkara itu turut menjejaskan rumah tangga saya dan akhirnya membawa kepada perceraian.“Semua disebabkan tekanan yang saya alami sehingga timbul perasaan sukar mempercayai bekas isteri. Saya mula menuduhnya dan perkara itu akhirnya menambahkan lagi tekanan dalam diri saya,” ujarnya.Berkongsi mengenai usaha memulihkan keadaan diri, Iman berkata dia mendapatkan bantuan ahli terapi selepas diperkenalkan oleh pelakon Ikram Dinzly.Jelasnya, Ikram menyedari perubahan sikapnya ketika itu sebelum mengajaknya mendapatkan khidmat ahli terapi, malah menawarkan diri untuk menanggung kos rawatan berkenaan.Kesihatan emosi Iman semakin baik sejak mendapatkan rawatan dengan ahli terapi.“Ketika itu, saya sudah berkawan dengan Abang Ikram Dinzly. Apabila dia melihat keadaan saya, dia mengajak saya berjumpa ahli terapi dan menawarkan untuk membiayai sesi tersebut.“Saya kemudian diperkenalkan kepada seorang ahli terapi dan meluangkan masa selama tiga hari bersamanya.“Sepanjang tempoh itu, dia membantu memperbaiki pemakanan, jadual tidur dan keadaan diri saya. Kami juga banyak berbual mengenai perkara yang saya lalui,” kongsinya.Menurut Iman, proses pemulihan tersebut mengambil masa lebih setahun sebelum dia kembali mampu mengawal keadaan diri dengan lebih baik.Malah, hubungannya dengan bekas isteri juga kini semakin baik apabila mereka mengamalkan konsep keibubapaan bersama (co-parenting) demi membesarkan tiga cahaya mata.“Alhamdulillah, sekarang saya sudah okey. Kadang-kadang masih ada, tetapi bagi saya perkara itu normal.“Sekurang-kurangnya saya sudah tahu cara menjaga pemakanan, berkomunikasi dan menerima pandangan orang lain.“Jadual tidur semakin teratur dan saya belajar waktu yang sesuai untuk tidur serta bangun. Menjaga solat juga penting,” katanya.