suria

“Jenuh bayaq karan, tiada mood nak beraya!” - Tiga daerah di Kedah alami cuaca panas Tahap 2

Minum air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi sewaktu cuaca panas. -Gambar hiasan AI

CUACA panas berterusan menyaksikan tiga daerah di Kedah iaitu Pendang, Pokok Sena dan Baling kini berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba).

Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kawasan terbabit merekodkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 15 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga), melibatkan Perlis serta beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berdasarkan kenyataan di Facebook METMalaysia, antara kawasan terlibat ialah Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.

Daerah lain yang terlibat ialah Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang serta Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak.

Tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata pengguna yang berada di Kedah turut mengakui terkesan dengan perubahan cuaca itu.

Ada antara mereka turut berkongsi tangkap layar penunjuk suhu semasa di telefon pintar masing-masing.

“Panas lit-lit (terik). Nak pi beraya pun tak jadi, tiada mood. Tak pernah lagi rasa panas macam ni.

“Geng Pokok Sena jenuh bayaq (bayar) karan (bil elektrik). Asyik pasang aircond (pendingin hawa).

“Kalau nak beraya di Kedah saya syorkan pergi lepas maghrib kalau tak mau kulit gelap... harap maklum,” demikian antara komen netizen.

Artikel Lain