SEORANG remaja perempuan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan tempat letak kereta bertingkat di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih, Presint 17, Putrajaya, awal pagi Ahad.Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisoner Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang berusia 17 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berhampiran bangunan berkenaan kira-kira pukul 5.45 pagi. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Tambah Aidi Sham, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tempat letak kereta bertingkat bangunan berkenaan."Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)."Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16(1) menerusi hantaran di Facebook turut memaklumkan seorang pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan meninggal dunia pada Ahad. Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi media sosial beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.