suria

Tak sempat sambut Aidilfitri, tiga beranak maut motosikal terbabas ketika bercuti di Pulau Tioman

Kawasan kemalangan yang menyebabkan tiga beranak maut pada Jumaat.

TIGA beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas ketika bercuti bagi menyambut Aidilfitri di Pulau Tioman, Pahang pada Jumaat.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sabri Ja'afar, 42, yang bekerja di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia, isterinya Siti Aisyah Suhaime, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Yusuf Abdurrahman Mohd Sabri, 5.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian 4 petang itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah air terjun Kampung Juara menghala ke sebuah resort penginapan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, yang merupakan kawasan jalan curam berbukit dan tidak rata, motosikal dinaiki tiga beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan.

Akibat impak kemalangan itu, Mohd Sabri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Isteri dan anaknya pula disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Tekek dengan kecederaan sama.

Sharif Shai berkata, hasil siasatan juga mendapati kesemua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian, selain semakan mendapati cukai jalan motosikal milik resort berkenaan telah tamat tempoh sejak Julai 2019.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rompin pada malam ini menggunakan bot Pasukan Polis Marin, untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada 10 pagi Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain