SEORANG remaja lelaki mengalami kecederaan serius termasuk gegendang telinga pecah di kedua-dua belah telinga serta hidung patah akibat insiden letupan mercun di Bandar Springhill, Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa berusia 17 tahun turut mengalami kecederaan pada jari dan tapak tangan selain luka ringan di bahagian muka. Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.17 petang, Khamis, manakala siasatan awal mendapati insiden berlaku pada 12 Mac lalu kira-kira pukul 11 malam.“Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakannya dipercayai menggunakan kira-kira 20 biji mercun bola."Namun, mengubah suai bahan tersebut dengan memasukkan sulfur ke dalam lubang tiang sebelum meletakkan mercun bagi menghasilkan letupan lebih kuat,” katanya dalam kenyataan kepada media.Alzafny berkata, letupan kuat berlaku ketika mangsa cuba menyalakan mercun menggunakan pemetik api sehingga menyebabkan kecederaan parah.Mangsa pada awalnya dikejarkan ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan telah dimasukkan ke wad sejak 13 Mac.Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.Menurut Alzafny, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan.Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengubah suai atau menyalahgunakan mercun kerana tindakan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan serius serta membahayakan keselamatan diri dan orang sekeliling.