SEORANG pemandu kereta jenis BMW yang merempuh sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju pada Isnin didapati berada di bawah pengaruh alkohol.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu wanita itu gagal berhenti ketika lampu isyarat merah lalu merempuh sebuah motosikal Yamaha yang bergerak lurus dari arah lampu isyarat hijau. "Ujian alkohol ke atas wanita tempatan berusia 42 tahun itu mendapati bacaan sebanyak 183mg/100ml,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.Mohd Zamzuri berkata, kemalangan menyebabkan penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan manakala pembonceng, remaja perempuan 15 tahun tidak cedera.Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum pemandu itu didakwa di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur pada Selasa.“Tertuduh mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari serta denda RM13,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar.“Selain itu, lesen memandu turut digantung selama dua tahun,” katanya.Tambah beliau, laporan pertama kejadian diterima pada pukul 10.15 malam, manakala kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 8.22 malam hari yang sama.Mohd Zamzuri berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42(1) akta sama kerana memandu secara berbahaya.Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.