suria

Rupanya budak 3 tahun positif dadah termakan gula-gula ganja milik pempengaruh… Mangsa ambil dalam peti sejuk rumah suspek

Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkongsi perkembangan kes kanak-kanak tiga tahun positif dadah THC.

GULA-GULA getah milik seorang pempengaruh media sosial yang dimakan disyaki menjadi punca seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek mendakwa gula-gula tersebut dibeli dari negara jiran dan mengandungi bahan terlarang.

Jelas beliau, suspek berusia 39 tahun itu turut menyatakan bahan berkenaan disimpan di dalam peti ais rumahnya.

"Suspek tinggal bersama ibunya yang merupakan pengasuh kepada mangsa.

"Tanpa disedari, mangsa yang gemar gula-gula dipercayai mengambil dan memakannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 3 tahun positif dadah, influencer ditahan polis 

Menurut Dzulkhairi, pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut di rumah suspek selepas soal siasat dilakukan.

Namun katanya, gula-gula berkenaan tidak ditemukan seperti didakwa suspek.

Terdahulu, seorang pegawai perubatan membuat laporan polis selepas mendapati kanak-kanak perempuan terbabit berada dalam keadaan separuh sedar sejurus dibawa ke Hospital Melaka kira-kira pukul 5 petang, 14 April lalu.

Ia berikutan ujian saringan air kencing mangsa positif bahan terlarang jenis Tetrahydrocannabinol.

Pada masa sama, ibu kanak-kanak terbabit memaklumkan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuhnya di Sungai Putat selain pernah menerima rawatan bantuan pernafasan melalui tiub di Zon Merah pada 11 April lepas.

Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah menahan suspek yang juga merupakan pempengaruh terkenal kira-kira pukul 9.30 malam, pada 15 April lalu.

Artikel Lain