suria

Empat suspek termasuk dua warga emas direman, bantu siasatan kes gadis ditikam 61 kali

Empat individu disyaki terbabit kes pembunuhan itu ditahan reman bermula Sabtu.

EMPAT individu disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan ditahan reman bermula Sabtu bagi membantu siasatan.

Dua remaja lelaki direman selama tujuh hari, manakala wanita warga emas berusia 60 tahun dan lelaki warga emas berusia 66 tahun pula direman selama tiga hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, mayat mangsa ditemukan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, dalam keadaan penuh kesan tikaman pada seluruh anggota badan pada tengah malam Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan empat suspek kes gadis ditikam 61 kali, wanita warga emas antara diberkas

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat berkalung 'Syaa' ditemukan tepi jalan dengan 61 kesan tikaman, identiti sudah dikenal pasti melalui cap jari

Mangsa yang merupakan penuntut kolej berusia 19 tahun itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.

Mangsa pada awalnya ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hasil pemerhatian di lokasi kejadian turut mendapati mangsa memakai rantai leher berukiran nama 'Syaa', seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

Polis kemudian mengesahkan menahan empat individu termasuk seorang wanita warga emas susulan kes berkenaan, selain turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek diberkas antara pukul 4 petang Jumaat hingga awal pagi Sabtu menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Taman Murni dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

Artikel Lain