suria

Akaun palsu ambil kesempatan, keluarga nafi kutip derma kes kanak-kanak lemas di Puncak Alam

Akaun palsu menggunakan nama dan gambar ibu saudara kepada kanak-kanak, Khairil Izani Khaizalullinudin.

IBU saudara kepada kanak-kanak lelaki yang lemas di Puncak Alam, Selangor menafikan pihak keluarganya meminta sumbangan orang ramai susulan tragedi tersebut.

Penafian itu dibuat Wan Nurzihan yang mengaku sebagai ibu saudara Allahyarham Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, selepas wujud akaun palsu di aplikasi Threads atas namanya.

"Itu bukan saya. Tolong komen kat situ (akaun palsu) kami sekeluarga tak buka mana-mana sumbangan setakat ini. 

"Kalau ada pun hanya atas nama mak dan ayah Khairil iaitu Nordin dan Rosima," katanya pada Khamis.

Dia berkata demikian selepas pengguna media sosial berkongsi tangkap layar akaun Threads yang menggunakan nama dan gambar sama seperti Wan Nurzihan.

Akaun palsu tersebut menyatakan kesedihan keluarga serta makluman  solat hajat sedang dilakukan di kawasan kanak-kanak tersebut terjatuh.

Selain gambar orang ramai melakukan solat hajat, disertakan juga kod QR bagi tujuan sumbangan.

Terdahulu, mayat Khairil Izani Khaizalullinudin ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat di sebatang sungai di Sungai Buloh pada pukul 1 tengah hari, Khamis.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada Selasa selepas bermain bola sepak dipercayai terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat.

Artikel Lain