suria

ZRA antara 10 rakyat Malaysia ditahan Zionis

Antara sebahagian peserta di dalam sebuah kapal yang ditahan tentera Zionis pada awal pagi Khamis.

SERAMAI 10 rakyat Malaysia dilaporkan antara yang ditahan selepas enam kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dipintas dan diceroboh oleh rejim Zionis Israel (IOF) pada awal pagi Khamis.

Menurut kenyataan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), kejadian berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Kedudukan enam kapal tersebut berada kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza, lokasi yang sah di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.

SNCC memaklumkan, kapal tentera Israel bertindak agresif dengan melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi selain mengganggu frekuensi radio, sekali gus mengancam keselamatan aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.

Dalam masa sama, sebanyak 22 kapal flotila yang membawa 186 peserta dilaporkan dipintas, terputus hubungan dan diceroboh.

Ia termasuk Saf Saf, Arkham III, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros I, Esplai, Mystere, Magic Boat, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia dan Holy Blue.

Daripada jumlah itu, enam kapal dikenal pasti ditahan, melibatkan 10 rakyat Malaysia iaitu Zainal Rashid Ahmad (Arkham III); Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1) dan Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Turut ditahan ialah Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea). 

SNCC turut mendedahkan kehadiran puluhan dron tidak dikenali di ruang udara sekitar flotila, dipercayai digunakan untuk tujuan pemantauan serta gangguan komunikasi sepanjang insiden.

Menurut pusat itu, rakaman audio dan visual yang diperoleh menunjukkan pihak IOF menggunakan naratif palsu bagi menghalalkan tindakan tembakan amaran, walaupun baki kapal misi kekal berlayar di laluan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol.

Sehubungan itu, SNCC menyeru rakyat Malaysia supaya terus bersatu hati dengan mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah demi keselamatan semua delegasi, khususnya rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.

Artikel Lain