SEORANG pengasuh kini hidup dalam kebimbangan mengenangkan nasib malang seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dikhuatiri bakal menjadi mangsa 'buang anak' oleh ibunya sendiri, sekali lagi.Menerusi perkongsian di Facebook, pengasuh itu mendedahkan bagaimana dia menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang sanggup meninggalkan darah daging sendiri untuk dijaganya dalam tempoh yang lama. Menurut pengasuh yang tinggal di Ampang, Selangor itu, segalanya bermula apabila dia mengiklankan khidmat asuhan di media sosial.Berdasarkan perjanjian awal, kanak-kanak itu sepatutnya dijaga sepenuh masa, dan si ibu berjanji akan menjemputnya beberapa kali seminggu selain menyediakan keperluan asas seperti susu, lampin pakai buang dan yuran bulanan.Namun, janji manis itu hanya tinggal janji.Wanita tersebut bertindak 'menghilangkan diri' dan hanya muncul semula selepas laporan polis dibuat pada 17 Mac lalu.Untuk rekod dia mula menjaga kanak-kanak itu pada 11 Februari dan si ibu hanya tampil menjemput kembalinya anaknya pada 19 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Aidilfitri."Saya jaga anaknya lebih sebulan dan dalam tempoh itu hanya sekali sahaja dia mengambil anak tersebut iaitu pada minggu pertama."Malah, dalam tempoh itu juga dia tidak menyediakan keperluan untuk anaknya hingga saya terpaksa menggunakan susu serta barangan dua anak saya," katanya ketika dihubungi mStar.Jelasnya lagi, dia dihubungi oleh bekas suami wanita tersebut yang memaklumkan si ibu itu sengaja memilih pengasuh yang kurang aktif di media sosial untuk dijadikan mangsa."Bekas suaminya hubungi saya selepas terbaca hantaran peringatan saya kepada para pengasuh di media sosial agar berhati-hati jika berurusan dengan wanita tersebut," katanya.Dalam perkembangan terbaharu, pengasuh itu memaklumkan si ibu itu juga baru sahaja melunaskan hutangnya berjumlah RM1,800 selepas dia berkongsi pengalamannya di media sosial.Namun dia tidak berniat untuk memanjangkan konflik tersebut, sebaliknya hanya mahu memastikan keselamatan kanak-kanak berkenaan.“Saya cuma risaukan keadaan anak itu. Bayangkan jika kanak-kanak itu dijaga oleh pengasuh yang salah, bagaimana dengan keadaan dia nanti?," katanya.