Empat suspek ditahan susulan kes melibatkan penemuan mayat seorang mangsa berusia 19 tahun. -Foto Bernama
EMPAT individu termasuk seorang wanita warga emas ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang gadis dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan.Suspek ditahan membabitkan dua remaja lelaki, seorang lelaki warga emas berusia antara 19 hingga 66 tahun. Turut ditahan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek diberkas antara pukul 4 petang Jumaat hingga awal pagi Sabtu menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Taman Murni dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.Menurut Yusoff, pihak polis turut merampas dua buah kereta, satu set pakaian, sepasang selipar, empat unit pelapik kaki serta sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.ARTIKEL BERKAITAN: Mayat berkalung 'Syaa' ditemukan tepi jalan dengan 61 kesan tikaman, identiti sudah dikenal pasti melalui cap jari"Semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah."Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pagi ini untuk proses reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan Sabtu.Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemukan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, dengan 61 kesan tikaman pada seluruh anggota badan dalam kejadian tengah malam Khamis.Mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.Hasil pemerhatian di tempat kejadian turut mendapati mangsa memakai rantai leher berukiran nama 'Syaa', seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.Mangsa berasal dari Perak dan berusia 19 tahun.Dalam perkembangan sama, kesemua suspek tiba di Mahkamah Kota Bharu pada pagi Sabtu untuk proses perintah reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.