suria

Tiba-tiba jadi terlebih manja, malas bersihkan bulu... Ramai tak sedar tanda-tanda biasa sebelum kucing ‘pergi’

Kematian kucing meninggalkan kesan mendalam terhadap pemiliknya. -Gambar hiasan AI

RAMAI pemilik kucing mungkin tidak sedar apabila haiwan peliharaan mereka mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

Kadang kala, pemilik melihat perubahan kucing mereka, namun tidak menyangka ia sedang menghampiri penghujung hayatnya.

Menurut Cloud9Vets, organisasi veterinar yang berpangkalan di United Kingdom, ini merupakan beberapa tanda yang perlu anda ambil tahu.

1.  Kucing yang biasanya berdikari tiba-tiba menjadi manja

Banyak kucing yang kebiasaannya suka bersendirian tiba-tiba menjadi sangat manja, sering mencari perhatian dan pelukan apabila mereka seakan dapat merasakan ajal semakin dekat.

Mereka mungkin mula mengikuti anda ke mana-mana, sedangkan sebelum ini hanya menggesel kaki sekadar tanda penghargaan selepas diberi makan.

Perubahan seperti ini mungkin menyenangkan, tetapi perlu diingat ia juga boleh menjadi salah satu tanda kucing anda sedang sakit atau semakin lemah.

2. Tidak mahu bergerak

Apabila kucing berada dalam kesakitan atau terlalu lemah, mereka mungkin tidak lagi aktif seperti biasa. 

Jika haiwan peliharaan anda tiba-tiba hilang minat untuk mengejar mainan kegemaran atau tidak lagi mengikuti anda ke dapur walaupun makanan disediakan, ia boleh menimbulkan kebimbangan.

Kucing yang aktif dan sihat biasanya gemar memburu serta bermain di luar rumah. -Gambar hiasan AI

Jika mereka sampai ke tahap tidak mampu atau enggan bergerak sepanjang hari, termasuk untuk membuang air, itu adalah petanda serius dan anda perlu segera membawanya berjumpa doktor haiwan.

3. Hilang selera makan

Sesetengah kucing mungkin sesekali tidak makan, terutamanya jika mereka sudah kenyang atau memburu sendiri. 

Namun, jika mereka tidak makan selama dua atau tiga kali berturut-turut, ia mungkin menandakan masalah kesihatan.

Walaupun ia tidak semestinya bermaksud bahaya segera, anda tetap disarankan untuk berjumpa doktor haiwan. 

Jangkitan parasit atau masalah perubatan lain juga boleh menyebabkan kucing hilang selera makan. 

4. Penampilan tidak terurus dan kelihatan lesu

Kucing aktif, terutama yang gemar berada di luar mungkin kelihatan sedikit kotor selepas bergaduh atau bermain. 

Namun, mereka biasanya akan membersihkan diri semula secepat mungkin.

Kucing yang semakin lemah selalunya tidak mempunyai tenaga untuk menjaga kebersihan diri. 

Jika kucing anda yang sebelum ini sentiasa bersih mula kelihatan kusut dan tidak terurus, ia boleh menjadi tanda penyakit serius.

Artikel Lain