suria

Jangan ingat timun dan bawang boleh ‘cuci’ bahan toksik sate hangit... Buang bahagian hitam sebelum menyesal!

Sate merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia. -Gambar hiasan AI

RAMAI menggemari sate yang dibakar sehingga sedikit hangit kerana aroma asap (smoky) daripada proses pembakaran tersebut dianggap mampu membangkitkan selera.

Namun menurut perkongsian Public Health Malaysia, bahagian hitam yang hangus itulah sebenarnya paling berisiko kepada kesihatan.

Apabila daging dibakar pada suhu terlalu tinggi sehingga bertukar hitam dan hangus, dua bahan kimia berbahaya boleh terbentuk iaitu Heterocyclic Amines (HCA) dan Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (PAH).

HCA terhasil apabila protein dalam daging dimasak pada suhu yang sangat tinggi.

PAH pula terbentuk apabila lemak daripada daging menitis ke atas api, menghasilkan asap yang kemudiannya melekat semula pada permukaan makanan.

Kajian makmal menunjukkan kedua-dua bahan ini boleh merosakkan DNA dalam tubuh dan dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.

Ramai juga beranggapan makan sate bersama timun dan bawang mampu 'mencuci' kesan bahaya atau potensi mendapat kanser tersebut.

Bagaimanapun, PHM menjelaskan sayuran itu bukan 'ubat ajaib' yang boleh menghapuskan kesan bahan toksik daripada daging hangit.

Sebaliknya, timun, bawang dan ulam berfungsi membantu menyeimbangkan hidangan kerana mengandungi antioksidan yang menyokong kesihatan usus.

Bagi menikmati sate dengan lebih selamat, orang ramai disarankan memotong dan membuang bahagian yang hitam terbakar sebelum makan.

Paling penting, sate perlu dijadikan makanan sekali-sekala dan bukan menu wajib setiap minggu.

Kesimpulannya, sate bukan musuh namun rasa sedap dan aroma smoky itu tidak seharusnya mengabaikan risiko terhadap kesihatan tubuh.

Artikel Lain