suria

Usah ambil mudah, hobi bercucuk tanam boleh jadi pembunuh senyap... Doktor dedah kuman tanah mampu ragut nyawa

Aktiviti bercucuk tanam tanpa memakai sarung tangan boleh mengundang bahaya kepada kesihatan. -Gambar hiasan AI

RAMAI dalam kalangan kita menjadikan aktiviti berkebun sebagai hobi santai yang menyihatkan, selain memberi kepuasan apabila melihat tanaman hidup subur.

Namun di sebalik manfaat tersebut, terdapat risiko kesihatan yang jarang diberi perhatian, terutama bagi individu yang gemar menyentuh tanah tanpa perlindungan.

Perkongsian oleh seorang petani dan doktor perubatan am, Dr Aliff Ash, membuka mata ramai apabila beliau mengingatkan tentang bahaya jangkitan kuman daripada tanah.

Menurutnya, individu yang gemar berkebun disarankan supaya lebih berhati-hati, khususnya jika tidak memakai sarung tangan ketika mengendalikan tanah.

Jelas Dr Aliff, golongan penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, buah pinggang serta mereka yang mempunyai tahap imuniti rendah berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit melioidosis. 

Penyakit ini berpunca daripada bakteria Burkholderia pseudomallei, sejenis kuman yang hidup dalam tanah serta air, dan sering dikaitkan dengan jangkitan dalam kalangan peladang mahupun petani.

Guna sarung tangan yang bersesuai ketika berkebun. -Gambar hiasan AI

Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai luka terbuka pada kulit perlu mengelakkan daripada bersentuhan secara langsung dengan tanah tanpa sebarang perlindungan.

Hal ini kerana sentuhan secara terus atau tanpa lapik boleh menjadi pintu masuk kepada jangkitan berbahaya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai netizen yang berkongsi pengalaman masing-masing, termasuk kisah kehilangan insan tersayang akibat jangkitan kuman.

"Arwah bapa mentua saya ada kencing manis dan suka berkebun. Kali terakhir dia masuk hospital kena jangkitan kuman hingga meninggal dunia.

"Arwah ayah saya pun sama. Bukan nak salahkan berkebun tapi dia terlalu ekstrim berkebun. Dia lupa dia bukan (sihat) macam orang biasa.

"Musim buah dia kena potong kaki, tapi tiga tahun kemudian musim buah juga dia meninggal. Meninggal sebab gangrene dan jangkitan kuman dalam darah hingga darahnya beracun," komen beberapa netizen.

Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang mengimbau detik cemas apabila bapanya pernah dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman dari tanah. 

"Teringat abah saya pernah warded sebab kena jangkitan kuman daripada tanah beberapa tahun lepas. Dia ada kencing manis dan suka berkebun.

"Memang bahaya kalau kena jangkitan ni ye. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur abah saya," komen seorang netizen lagi.

Artikel Lain