SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor atas pertuduhan membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.Tertuduh, seorang pelajar Tingkatan Empat, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno pada pagi Khamis. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada remaja itu memandangkan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang mewakili tertuduh memberitahu pemberita kemudian bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada remaja itu.Mahkamah menetapkan 22 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat di Mahkamah Majistret Yong Peng sebelum kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi. ARTIKEL BERKAITAN: Irene Sofiya meninggal dunia akibat hentakan tumpul di kepalaSebelum ini, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Johor, kira-kira pukul 5.50 petang pada 3 Oktober lalu sebelum disahkan meninggal dunia.Dalam laporan pada 5 Oktober pula, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata mangsa meninggal dunia akibat kecederaan susulan hentakan tumpul pada bahagian kepala.Punca kematian itu dikenal pasti menerusi bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.