suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dada berombak, terkejut tengok gambar cucuk-cucuk... Bapa Aliff Daniel dakwa konflik akidah anak punca rumah tangga hancur

Negara digemparkan dengan kisah seorang pemuda beragama Islam yang didakwa melakukan ritual agama lain di Batu Caves.

REMUK hati seorang bapa apabila melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang memilih jalan hidup bertentangan dengan pegangan agamanya.

Lebih menyedihkan, konflik berpanjangan itu didakwa turut menjadi antara punca keretakan rumah tangga sehingga dia kini menjalani kehidupan bersendirian.

Itulah luahan seorang lelaki dipercayai bapa kepada Aliff Daniel, pemuda yang dilaporkan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Selasa susulan dakwaan melakukan amalan ritual agama lain.

Luahan menyentuh hati itu dikongsikan oleh seorang individu dikenali sebagai Tuan Amir Danau menerusi hantaran di Facebook, yang mengakui mengenali rapat bapa kepada pemuda berkenaan. 

"Hampir dua jam aku bersembang dalam call tu. Teliti dengar satu persatu. Sebab aku sedih juga baca dekat media sosial bila gambar sahabat aku ini pun diviralkan juga. Macam-macam tuduhan," tulisnya.  

Menerusi perbualan mereka, Tuan Amir berkata sahabatnya yang dipanggil Abang Hadie mendedahkan anaknya, Aliff Daniel sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap alam semula jadi sejak kecil sehingga berkebolehan merawat orang lain.

"Daniel ini dia special sikit, Mir (Amir). Dia hidup dengan nature, dia suka mengkaji. Lepas tu dia boleh ubat-ubat orang. Tuhan bagi kelebihan pada dia," luah lelaki tersebut. 

Tuan Amir Danau berkongsi paparan tangkapan skrin perbualannya dengan Abang Hadie. 

Menurut lelaki itu, dia sudah berkali-kali menegur anaknya supaya tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada perbuatan syirik.

Malah, dia mendakwa pernah membuang patung dan barangan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan, namun anaknya dikatakan membeli semula barangan berkenaan menggunakan wang sendiri.

Keadaan itu menyebabkan perselisihan faham antara mereka berlarutan, malah dia turut mendakwa isterinya sering tidak bersetuju dengan cara dia menangani perkara tersebut.

"Abang pesan ke dia, jangan sampai menyekutukan Allah. Berapa kali, Mir. Abang pecahkan semua barang-barang dalam bilik dia tu, abang buang semuanya.

"Tapi apabila abang buang, esok tu lagi banyak dia beli. Pakai duit dia sendiri. Bertekak panjang. Dia cakap abang ni tak faham dia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar pemuda Islam lakukan ritual agama lain! Jais mula siasat, pandang serius isu akidah

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki didakwa terlibat lakukan ritual agama lain ditahan bersama ibu

Lebih memilukan, lelaki itu mendakwa isterinya pernah memberitahu bahawa Daniel mengalami tekanan sehingga terfikir untuk membunuh diri akibat halangan yang dikenakan terhadap minat dan aktiviti berkenaan.

Namun, bagi si bapa, perkara itu bukan sekadar perbezaan pendapat antara ibu bapa dan anak, sebaliknya membabitkan soal akidah.

Mengulas mengenai gambar-gambar yang kembali menjadi perhatian selepas isu berkenaan tular, lelaki itu turut menjelaskan bahawa kes Aliff Daniel di Batu Caves dipercayai berlaku kira-kira enam hingga tujuh tahun lalu.

"Masa mereka nak keluar ke Batu Caves tu abang nak pi masjid. Abang tengok pakaian masing-masing pelik semacam. Dengan sari dan kain apa bagai tu. 

"Abang tanya nak pergi mana? Akak cakap dia saja nak bawa anak berjalan, nak tengok upacara dekat Batu Caves. Abang suruh tukar baju, mereka tak nak.

"Tuhan Maha Besar. Malam tu kawan abang hantar gambar yang cucuk-cucuk tu, berombak dada abang. Esok tu abang mengamuk," ujar lelaki itu lagi. 

Aliff Daniel ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan.

Lebih menyedihkan, lelaki itu mengakui konflik berkenaan semakin memuncak apabila isterinya menuntut penceraian kerana tidak sehaluan. 

Menurutnya, dia sudah berkali-kali berbincang dengan isterinya dan cuba mendapatkan kepastian sebelum membuat keputusan untuk berpisah.

"Abang dah puas bincang, abang tanya dah fikir masak-masak ke? Tapi iyalah, mungkin abang ni penghalang kepada semua aktiviti mereka. Tak apa la, abang reda untuk lepaskan," luahnya.

Selepas perceraian, lelaki itu berkata dia tinggal bersendirian dengan menyewa sebuah bilik dan menghabiskan masa berulang-alik ke masjid.

Hubungannya dengan anak-anak juga didakwa semakin renggang sehingga dia kehilangan banyak perkara yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Menurutnya, hanya anak sulung yang masih menghubunginya dari semasa ke semasa untuk bertanya khabar.

Bagaimanapun, selepas isu Daniel kembali menjadi perhatian ramai, bekas isterinya dikatakan menghubunginya dan memaklumkan bahawa anak mereka sudah lama meninggalkan amalan berkenaan serta bertaubat.

Lelaki itu bagaimanapun mengakui tidak dapat memastikan sejauh mana kebenaran perkara tersebut memandangkan mereka sudah lama tidak berhubung rapat.

Biarpun berdepan pelbagai kekecewaan, dia memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.

"Doakan abang kuat semangat. Abang dah tenang-tenang, datang pula ujian ni. Semua jabatan agama datang jumpa abang dekat masjid. Abang cerita semua dah. Abang tak ada kaitan.

"Abang harap Allah ampunkan abang, Allah lebih tahu semuanya," luah lelaki berkenaan lagi.

Sementara itu, Tuan Amir Danau berharap orang ramai tidak terus melemparkan pelbagai tuduhan terhadap sahabatnya itu, apatah lagi tanpa mengetahui kisah sebenar di sebalik konflik keluarga mereka.

Menurutnya, perkongsian berkenaan dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar selain menunjukkan sokongan moral terhadap seorang bapa yang sedang berdepan ujian berat dalam kehidupan.

Sehingga kini perkongsiannya di Facebook meraih lebih 8,500 shares selain dibanjiri ribuan komen netizen.

Artikel Lain