JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) memulakan siasatan berhubung hantaran tular di media sosial mengenai seorang pemuda beragama Islam yang didakwa melakukan amalan atau ritual agama lain yang dipercayai menyalahi hukum syarak.Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. “Ia membabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan apa-apa cara menyalahi hukum syarak, dan juga kesalahan melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.“Setakat ini, Jais belum dapat mengesahkan perbuatan itu dilakukan oleh individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, sebagaimana (dakwaan) yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan pada lewat malam Sabtu.Beliau berkata, Jais juga tidak menolak kemungkinan hantaran itu membabitkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI).“Justeru, beberapa fakta mengenai kes itu termasuk tempat kejadian, akan disiasat lebih teliti oleh Jais dengan segera bagi mengenal pasti bidang kuasa jabatan ini untuk mengambil tindakan lanjut bawah undang-undang yang berkuat kuasa.“Jais memandang serius perkara menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor, dan menegaskan setiap maklumat atau aduan akan disiasat serta diambil tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat dan adil,” katanya.Tambahnya, Jais akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah bagi memastikan akidah berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan umat Islam di Selangor terus terpelihara daripada sebarang penyelewengan, penghinaan dan pertikaian.Sebagai penegasan, penyertaan umat Islam dalam sebarang bentuk perayaan atau ritual keagamaan lain adalah bertentangan dengan ajaran Islam.Menerusi penjelasan di laman web Jabatan Mufti Selangor, dinyatakan bahawa menghadiri perayaan agama bukan Islam adalah haram kerana ia termasuk dalam perkara yang berkait rapat dengan unsur-unsur keagamaan.