Orang ramai berkumpul di luar stesen metro berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, pada Sabtu. -Foto AP
TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terkorban susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden objek dipercayai peluru jatuh berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi pada Sabtu.Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Kedutaan Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas susulan gangguan perjalanan bagi menyediakan bantuan konsular sewajarnya. Menurut kementerian itu, rakyat Malaysia yang menetap, sedang berada atau merancang perjalanan ke Arab Saudi dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.“Susulan gangguan penerbangan yang masih berlaku, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum bertolak ke lapangan terbang,” menurut kenyataan itu.Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjangkakan kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi serta mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.Susulan insiden itu, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.Bagi memastikan komunikasi dan bantuan konsular dapat disalurkan dengan lancar, rakyat Malaysia turut digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat hubungan melalui portal e-Konsular.Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau ketika kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 11 488 7098 atau 00 966 11 488 7100 untuk pertanyaan umum.Talian kecemasan selepas waktu pejabat pula ialah 00 966 56 300 6319, manakala pertanyaan melalui e-mel boleh dihantar ke [email protected].Wisma Putra berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi itu dengan teliti dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu.Dalam kenyataan berasingan pada Ahad, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada Sabtu mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain.Mereka yang terkorban terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan. -The Star