suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lebih 4,000 kes buli direkodkan di sekolah dan asrama dalam tempoh 6 bulan

Kes buli perlu ditangani dengan tegas hingga ke akar umbi lebih-lebih lagi apabila melibatkan kecederaan serta kematian. -Gambar hiasan

LEBIH 4,000 kes buli direkodkan di sekolah dan asrama di seluruh negara bagi tempoh Mac hingga Ogos tahun ini.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), daripada jumlah itu, sebanyak 2,480 kes melibatkan buli fizikal, diikuti 1,386 kes buli lisan, 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

"Usaha membanteras buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada tindakan disiplin.

“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya dan disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan, diikuti langkah intervensi yang diperlukan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Bagi meningkatkan keselamatan dan pemantauan di asrama, kementerian memaklumkan sebanyak 200 sekolah berasrama telah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) tahun lalu menerusi peruntukan RM3 juta.

Inisiatif itu diteruskan tahun ini dengan pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama.

Bagi Fasa Ketiga tahun depan, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV di 1,000 sekolah di seluruh negara.

Selain itu, seramai 300 Pembantu Warden Asrama MySTEP (MyPWA) ditempatkan di sekolah berasrama sejak 1 April lalu bagi membantu lebih 10,000 warden sedia ada dalam urusan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, khususnya pemantauan pada waktu malam.

KPM turut melaksanakan Audit Keselamatan Asrama di 850 sekolah bagi mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik dan memastikan tindakan susulan sewajarnya diambil.

Bagaimanapun, kementerian menegaskan kemudahan fizikal sahaja tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan murid.

Sebaliknya, pemantauan oleh warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid serta tindakan segera terhadap aduan turut memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran asrama yang selamat.

Dalam pada itu, portal aduan buli kementerian ditambah baik dengan fungsi pelaporan tanpa nama bagi membolehkan murid, saksi dan pihak berkaitan membuat aduan dengan lebih yakin tanpa menjejaskan keperluan menjalankan siasatan sewajarnya.

Pengurusan kes buli turut diperkukuh menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 12 Tahun 2023 berkaitan pelaksanaan garis panduan pengurusan salah laku buli di institusi pendidikan bawah kementerian.

Garis panduan itu merangkumi penerimaan aduan, siasatan, tindakan disiplin, intervensi dan pemantauan susulan.

KPM turut menjelaskan bahawa kes yang mempunyai unsur kesalahan jenayah perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut undang-undang.

Selain langkah pemantauan, kementerian melaksanakan Kerangka Pemerkasaan Antibuli Sekolah (SAFE) serta memperkukuh pembangunan sahsiah murid melalui program Generasi Madani.

Usaha itu akan diteruskan secara lebih tersusun menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 dengan penekanan terhadap nilai murni, kesopanan, sahsiah terpuji, integriti dan empati.

Menurut kementerian, inisiatif berkenaan bertujuan membina budaya sekolah yang menolak keganasan, menghormati perbezaan dan menggalakkan murid mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi tidak selamat.

KPM menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai jumlah kes buli yang direkodkan di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli dikuatkuasakan serta langkah meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah berasrama. -The Star

Artikel Lain