suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ramai tak suka sebab rasanya masam! Kajian baharu dapati jus kranberi baik untuk kesihatan gigi

Jus kranberi berpotensi mengurangkan pertumbuhan bakteria plak gigi. -Gambar hiasan AI

KRANBERI bukan sahaja terkenal dengan manfaatnya dalam membantu mencegah jangkitan saluran kencing (UTI), kajian terbaharu mendapati buah berwarna merah itu turut berpotensi menjaga kesihatan gigi dengan mengurangkan pertumbuhan bakteria penyebab plak.

Penemuan diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports itu mungkin mengejutkan sesetengah pihak kerana jus kranberi sering dianggap terlalu masam, berasid dan mengandungi gula tinggi sehingga dikhuatiri tidak baik untuk kesihatan gigi.

"Kebanyakan orang menganggap jus kranberi sangat masam, berasid dan manis, justeru mungkin tidak memberikan kesan positif kepada kesihatan mulut.

"Namun, kajian ini menunjukkan sebaliknya," kata doktor pergigian kanak-kanak dari University of Illinois Chicago, Christine Wu.

Kranberi mengandungi sebatian yang dikenali sebagai proantosianidin (PAC), iaitu bahan yang berupaya menghalang jangkitan bakteria.

Dalam kes jangkitan saluran kencing, sebatian tersebut membantu menghalang bakteria Escherichia coli daripada melekat pada sel yang melapisi pundi kencing.

Sebatian sama juga dipercayai mampu melindungi kesihatan mulut dengan menghalang pertumbuhan bakteria seperti Streptococcus mutans yang membentuk plak pada permukaan gigi.

Bakteria tersebut menghasilkan asid yang boleh merosakkan enamel gigi dan meningkatkan risiko kerosakan gigi.

Penemuan awal ini menunjukkan kranberi berpotensi menjadi tambahan untuk kesihatan mulut. -Gambar hiasan AI

Kajian terhadap jus kranberi

Bagi mengkaji manfaat jus kranberi terhadap kesihatan gigi, penyelidik menjalankan kajian kecil melibatkan lapan orang dewasa dan 14 kanak-kanak.

Peserta diminta mencuba tiga jenis minuman pada hari berbeza iaitu jus kranberi tulen, minuman kranberi bergula yang mengandungi 27 peratus jus kranberi dan air kosong sebagai perbandingan.

Sepanjang setiap fasa ujian, peserta tidak dibenarkan melakukan penjagaan kebersihan mulut selama 24 jam sebelum sampel plak gigi diambil.

Selepas itu, mereka diminta berkumur menggunakan minuman yang diberikan sebelum menelannya. Sampel plak sekali lagi diambil selepas 30 minit.

Hasil kajian mendapati pengambilan jus kranberi tulen mengurangkan pertumbuhan bakteria sebanyak 44 peratus berbanding sampel awal.

Dalam kalangan kanak-kanak pula, pengurangan sebanyak 33 peratus direkodkan.

Penyelidik menjelaskan perbezaan tersebut mungkin disebabkan komposisi bakteria dalam plak gigi yang berbeza mengikut usia.

Menariknya, jus kranberi tulen turut menunjukkan pengurangan ketara dalam penghasilan asid oleh bakteria plak, sekali gus berpotensi mengurangkan kerosakan pada enamel gigi.

Bagaimanapun, minuman kranberi bergula yang mengandungi 27 peratus jus kranberi tidak menunjukkan pengurangan bakteria yang signifikan secara statistik.

Penyelidik berpendapat jus kranberi tulen mungkin lebih berkesan kerana mempunyai kandungan proantosianidin yang lebih tinggi berbanding minuman kranberi bergula, namun perkara itu masih memerlukan kajian lanjut.

Secara keseluruhan, penemuan awal ini menunjukkan kranberi berpotensi menjadi makanan yang bukan sahaja membekalkan nutrien, malah mempunyai manfaat tambahan untuk kesihatan mulut.

Hasil kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports. -Agensi

Artikel Lain