Seorang wanita di Brazil dilapor melahirkan sepasang bayi kembar yang mempunyai bapa kandung berbeza. -Agensi
SEORANG wanita berusia 19 tahun di Brazil mencuri tumpuan dunia perubatan selepas melahirkan sepasang bayi kembar yang mempunyai bapa kandung berbeza.Kejadian luar biasa yang berlaku di Mineiros, Goiás itu mula mendapat perhatian pada September 2022 selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan status sebenar pasangan kembar lelaki berkenaan. Menurut laporan portal berita Brazil O Popular, wanita dikenali sebagai Adriellen itu didakwa menjalinkan hubungan dengan dua lelaki berbeza dalam satu tempoh masa yang singkat.Misteri mengenai status bapa kedua-dua bayi terbabit kemudiannya timbul ketika usia kandungan wanita itu mencecah lapan bulan sekali gus mendorong ujian SNA dijalankan bagi mendapatkan kepastian.Keputusan ujian tersebut mengejutkan ramai apabila kedua-dua bayi kembar itu disahkan berkongsi ibu yang sama namun mempunyai bapa biologi yang berlainan.Mengulas mengenai kes berkenaan menerusi perkongsian di Facebook, pakar perubatan tempatan, Dr Imelda Balchin menjelaskan fenomena yang dikenali sebagai heteropaternal superfecundation itu adalah sangat jarang berlaku."Sangat jarang berlaku, namun ia boleh terjadi. Hanya 25 kes dilaporkan di seluruh dunia," katanya ringkas sambil berkongsi kisah berkenaan.Untuk rekod, fenomena heteropaternal superfecundation berlaku apabila dua telur atau ovum berlainan yang dilepaskan semasa kitaran haid sama disenyawakan oleh sperma daripada dua lelaki berbeza.Keadaan ini menyebabkan ibu berkenaan mengandungkan pasangan kembar tidak seiras yang mempunyai pertalian darah sebelah ibu, tetapi berlainan bapa secara biologi.