SEMUA sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup pada Rabu susulan situasi jerebu semasa.Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan penutupan itu turut membabitkan sekolah di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Di Selangor, sekolah yang terlibat ialah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Sepang.Sementara di Pahang, penutupan melibatkan sekolah di bawah PPD Kuantan, Pekan dan Rompin.Sekolah di bawah PPD Tawau, Sabah turut terkesan manakala di Sarawak pula, ia melibatkan sekolah di bawah PPD Serian, PPD Sri Aman dan PPD Lubok Antu."Sekolah di semua negeri dan daerah lain beroperasi seperti biasa."Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, manakala guru-guru dan AKP dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR)," ujarnya dalam hantaran di laman Facebook. Terdahulu, memetik portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 20 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9.30 pagi Selasa, dengan Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 181.