PEMANDU kereta jenama BYD Seal berusia 24 tahun yang dipercayai terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur hingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, polis kini sedang melengkapkan siasatan berhubung kemalangan membabitkan enam buah kenderaan berkenaan. "Pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan selain memantau keadaan pemandu terbabit."Kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.ARTIKEL BERKAITAN: Budak perempuan usia lima tahun maut dalam kemalangan babit enam kenderaanDalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang Sabtu lalu, kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa yang berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain.Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kereta dipandu bapa mangsa berpusing ke lorong kanan dan bertembung dengan tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.Akibat kemalangan itu, mangsa dikenali sebagai Asiah Ahmad Syahir mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).Bapa mangsa pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.Sementara itu, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.