suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Budak lelaki tujuh tahun cedera diserang sekumpulan anjing liar

Sekumpulan anjing liar berkeliaran di kawasan flat di Lima Kedai.- Gambar Ihsan Datuk Pandak Ahmad

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera selepas diserang sekumpulan enam hingga lapan ekor anjing liar di taman permainan berhampiran flat kos rendah di Lima Kedai, Johor, pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, kejadian berlaku antara pukul 3 petang hingga 4 petang ketika mangsa dipercayai sedang bermain di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan selepas seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu membaling batu ke arah anjing berkenaan.

“Mujurlah ada seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu lalu membaling batu ke arah anjing berkenaan, sekali gus membantu menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya kepada Bernama.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian mata, leher, kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Pandak berkata, kejadian itu membimbangkan dan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Beliau berkata, serangan anjing liar di kawasan berkenaan bukan kejadian pertama apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut diserang sekumpulan anjing pada kira-kira pukul 6 pagi hari sama.

Remaja itu berjaya menghalau haiwan berkenaan sebelum melarikan diri ke tangga bangunan, namun mengalami kecederaan pada kaki.

Menurut Pandak, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan dan beliau diberitahu bahawa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan menjalankan operasi bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil segera bagi menjamin keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak, meskipun langkah itu mungkin mendapat bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-The Star

Artikel Lain