PELAKON Siti Khadijah Halim meluahkan rasa kagum terhadap kecekapan serta budaya kerja pantas produksi di Indonesia selepas berpeluang menjalani penggambaran telefilem My Toxic Boyfriend di Yogyakarta sebelum ini. Siti, 29, berkata, disiplin barisan pelakon dan kru di negara seberang yang mampu menyelesaikan sesuatu babak hanya dalam satu rakaman membuatkan sesebuah naskhah dapat disiapkan dalam tempoh jauh lebih singkat. Jelas Siti, kepantasan tenaga kerja produksi di Indonesia sangat mengagumkan apabila sebuah telefilem mampu disiapkan dalam masa empat hingga lima hari sahaja berbanding kebiasaan satu hingga dua minggu di Malaysia.Siti Khadijah seronok terlibat dalam penggambaran telefilem di bawah produksi Indonesia.“Perubahan yang ketara di sana ialah cara kerja mereka selalunya satu take, selepas itu terus jalan. Sebab itu kadang-kadang cerita mereka boleh habis dalam masa empat ke lima hari sahaja berbanding di Malaysia yang mengambil masa seminggu atau dua minggu.“Bila saya tanya rakan baik iaitu Aghniny Haque pun dia akui perkara sama dan beritahu penggambaran filem di sana juga siap dalam masa satu ke dua minggu. Memang cara mereka bekerja sangat laju.“Tanpa berfikir panjang saya terima projek ini sebab dapat bekerja di tempat baharu di Jogja. Pelakon-pelakon di sana pun memang besar namanya seperti Cinta Brian, Adly Fayruz. "Mereka sangat baik, menerima saya dengan terbuka dan tunjukkan cara kerja di sana sampai saya jatuh cinta dan rasa mahu lanjutkan tempoh duduk di Jogja,” katanya kepada mStar ketika Majlis Pelancaran UTV Nusantara baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan pertikaikan rezeki” - Siti Khadijah pertahan kemenangan Zarra Zhaf di FFM35, kagum bakat pelakon cilik itu ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kapal‘ Siti Khadijah & Amir Ahnaf sudah karam, kekal profesional sebagai rakan artis sajaBiarpun terpaksa mengharungi jadual penggambaran yang padat mencecah sehingga 19 jam sehari, Siti menegaskan dia sedikit pun tidak berasa tertekan sebaliknya menyahut cabaran tersebut dengan penuh komited.“Saya tidak rasa tertekan atau menganggap rentak kerja laju mereka sebagai satu masalah. Saya sahut cabaran itu sebab bukan selalu dapat peluang begini, jadi bila sudah dapat kita tidak mahu sia-siakan dan buat betul-betul.“Waktu penggambaran yang panjang itu kadangkala boleh mencecah sehingga 19 jam. Jadi kalau ada yang nampak muka saya kelihatan kembang nanti, itu sebab tidak cukup tidur, kurang minum air dan tidak cukup rehat," ujarnya.Siti Khadijah tanam impian mengembangkan kerjaya di Indonesia.Mengulas tuntutan yang memerlukannya bertutur dalam bahasa Indonesia tanpa sempat menghadiri kelas formal, Siti mengakui dia banyak dibantu oleh rakan gandingan selain sudah terbiasa menonton sinetron sejak dahulu.“Untuk dialog pula semuanya sudah ada dalam skrip, jadi tidaklah terlalu sukar. "Saya tidak sempat pergi kelas bahasa kerana kekangan masa, jadi saya bergantung sepenuhnya kepada rakan gandingan yang banyak membantu di set. Lagi pula saya membesar menonton cerita Bawang Merah Bawang Putih, My Heart dan suka dengar lagu-lagu galau, jadi sudah terbiasa,” tambahnya. Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangannya untuk terus melebarkan sayap ke pasaran Indonesia selepas ini, Siti mengakui persaingan di negara berkenaan agak sengit namun tetap menyimpan hasrat besar itu. “Memang untuk menembusi pasaran di sana agak sukar, tetapi kalau ada rezeki insya-Allah memang niat saya mahu banggakan negara. "Seperti mana kita lihat rakan pelakon kita berjaya memenangi anugerah di Golden Horse di Taiwan, saya juga bercita-cita mahu sampai ke tahap itu suatu hari nanti.“Peluang setiap orang tidak sama. Antara impian saya adalah untuk berlakon dengan Iko Uwais,Reza Rahadian dan Dian Sastro. Siapa yang tidak mahu? Semoga suatu hari nanti ada rezeki saya,” jelasnya.TONTON VIDEO PILIHAN!