Polis kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana senjata api berkenaan diperoleh. -Gambar hiasan
SEORANG kanak-kanak lelaki maut selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri ketika berada di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, di Keningau, Sabah pada Sabtu.Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, dalam kejadian itu mangsa berusia 11 tahun mengalami kecederaan serius di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Keningau. Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.35 petang pada hari yang sama."Siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berada di pondok berkenaan sebelum satu das tembakan dilepaskan.“Kejadian dipercayai membabitkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok.“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.Erwansyah berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, semalam mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tembakan di kepala.Katanya, polis kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana senjata api berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga menyebabkan kejadian itu.“Pemeriksaan forensik dan balistik turut diberi perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.“Polis juga meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan berlaku pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya.Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan.Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.