SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas kereta dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kejadian berlaku di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, sekitar pukul 3.44 petang Sabtu ketika trafik bergerak perlahan dari pusat bandar menghala ke Segambut.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu bapa mangsa yang berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain."Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kereta mangsa berpusing ke lorong kanan dan bertembung dengan tiga kenderaan lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurut Mohd Zamzuri, bapa mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala penunggang motosikal berusia 33 tahun cedera di kepala.Kedua-duanya menerima rawatan di HKL, sementara pemandu tiga lagi kenderaan tidak mengalami kecederaan.Beliau berkata, polis sudah mengesan pemandu berusia 24 tahun yang melanggar kereta mangsa dari belakang sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian."Pemandu berkenaan kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat gegaran otak dan masih di bawah pemantauan pegawai penyiasat," ujarnya.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -The Star