suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Sekolah di enam negeri, Putrajaya dibuka semula pada Khamis

Pelajar disarankan memakai pelitup muka dan mengelakkan aktiviti di kawasan luar sekolah sebagai langkah keselamatan.

SEMUA sekolah di bawah Kementerian Pendidikan KPM) di Putrajaya, Selangor,  Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Pahang beroperasi seperti biasa, esok.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan, murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu semasa.

Menurut kenyataan itu, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah. 

JPN Selangor menegaskan, isu keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di Sarawak.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan sekolah dan institusi pendidikan yang berada dalam kawasan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, hendaklah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid dan pelajar.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dalam kenyataan pula memaklumkan aktiviti luar sekolah ditangguhkan sebagai langkah menjaga kesihatan dan keselamatan murid.

"Murid yang hadir ke sekolah juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko kesan jerebu terhadap kesihatan," menurutnya.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pula dalam kenyataannya berkata pihak sekolah bagaimanapun hendaklah sentiasa memantau kualiti udara, mematuhi garis panduan yang berkuat kuasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

"Selaras dengan ketetapan Surat Siaran Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti luar bilik darjah seperti Pendidikan Jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka hendaklah dihentikan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

"Murid disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan, khususnya bagi mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko," katanya.

Pembukaan sesi persekolahan di Melaka pula dimaklumkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Ujarnya, keputusan membuka semula sekolah mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa dengan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan terus menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalam kenyataannya  memaklumkan sekolah di Pekan, Kuantan, Rompin, Temerloh, Maran, Bera dan Bentong juga beroperasi semula, bagaimanapun semua aktiviti luar ditangguhkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata pengesahan pembukaan semula sekolah dibuat berdasarkan semakan di semua stesen pemantauan IPU di negeri itu setakat pukul 2 petang Rabu.

Artikel Lain