PEMANDU kereta elektrik BYD yang disyaki menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar pada Khamis. "Tidak mengaku salah," ujarnya dari kandang tertuduh.Berdasarkan pertuduhan pertama, pegawai bank itu didakwa memandu kereta BYD Seal secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada pukul 3.44 petang, 10 Oktober.Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu BYD Seal dirawat di hospital swasta dalam pemantauan polis, kertas siasatan dirujuk DPPDia juga didakwa gagal berhenti selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.Peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin dengan alasan anak guamnya tidak berisiko untuk melarikan diri dan sudah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.Majistret kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.Lesen memandu lelaki itu digantung bermula Khamis sehingga kes selesai, malah dia turut diperintahkan menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 19 November depan.Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir, maut selepas kereta dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.