SEORANG guru tuisyen ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki di Kuala Lumpur pada awal bulan ini.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen. Susulan itu, beliau berkata, polis menerima lima laporan berasingan di Balai Polis Bukit Jalil yang membabitkan mangsa remaja dan kanak-kanak lelaki."Laporan polis yang pertama dibuat pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober," katanya dalam kenyataan.Fadil berkata, pihak polis melakukan siasatan terperinci dan merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak bagi melengkapkan kertas siasatan."Siasatan lanjut sudah dijalankan dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga dan mangsa."Semua pihak iaitu ahli keluarga mangsa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes ini," katanya.Menurutnya, suspek sudah ditahan dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut."Suspek ditangkap dan kini berada dalam tahanan reman."Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)," katanya.Fadil turut memaklumkan, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan.