suria

Bekas cef peribadi dedah rahsia pemakanan Cristiano Ronaldo, ada sebab ‘haramkan’ susu dalam diet

Ronaldo mengamalkan gaya pemakanan sihat sebagai pemain bola sepak.

PEMAIN bola sepak terkenal dunia Cristiano Ronaldo terkenal dengan sikap disiplin tinggi dalam menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal sejak dua dekad lalu.

Sepanjang karier, Ronaldo sering menerima pujian atas komitmennya terhadap diet ketat dan gaya hidup sihat, termasuk ketika musim rehat. 

Malah, dia juga kerap berkongsi rutin harian di media sosial, sekali gus memberi gambaran kepada peminat tentang amalan hidupnya.

Perkara itu turut dikongsi bekas cef peribadinya iaitu Giorgio Barone yang mendedahkan rutin pemakanan bintang Portugal berkenaan serta makanan yang dielak.

Menurut Giorgio, Ronaldo mengamalkan diet seimbang dengan memilih makanan ringan dan sihat, selain mengelakkan produk tenusu, gula serta makanan berat seperti roti.

"Diet Ronaldo sangat seimbang. Dia makan pelbagai jenis makanan, tetapi semuanya sihat. Untuk sarapan, dia ambil avokado bersama kopi, telur dan tanpa gula, memang langsung tiada gula.

"Untuk makan tengah hari pula, biasanya ayam atau ikan bersama sayur-sayuran. Jika perlukan karbohidrat, dia ambil daripada sayur, jadi tidak perlu makanan berasaskan tepung seperti pasta atau roti," jelasnya.

Tambahnya lagi, waktu makan malam Ronaldo lebih ringkas, kebiasaannya terdiri daripada ikan atau daging dalam bentuk fillet yang dihidangkan bersama sayur-sayuran.

Kini pada usia 41 tahun, Ronaldo menjadi bukti bahawa penjagaan diet yang rapi mampu membantu memanjangkan jangka hayat karier seorang atlet.

Ronaldo mengelakkan diri daripada mengambil pemakanan daripada produk tenusu.

Alasan kenapa Ronaldo elak makanan daripada tenusu

Dalam pada itu, Giorgio turut menjelaskan sebab produk tenusu seperti susu tidak digalakkan dalam diet harian.

Menurutnya, manusia hanya memerlukan susu ketika bayi, dan pengambilan selepas itu dianggap tidak lagi sesuai.

"Manusia satu-satunya makhluk yang minum susu daripada haiwan lain. Tiada haiwan lain minum susu selepas beberapa bulan. 

"Malah, anak lembu pun berhenti minum susu selepas usia tiga bulan. Tetapi manusia terus minum susu hingga usia dewasa. Pada pandangan saya, itu tidak betul," katanya.

Giorgio menambah, pengambilan susu ibu ketika bayi adalah perkara normal, namun tabiat itu tidak sepatutnya diteruskan selepas fasa tersebut.

Sebagai alternatif, Giorgio mencadangkan penggunaan susu berasaskan tumbuhan seperti susu badam, oat atau beras.

Pemakanan lebih penting daripada latihan

Giorgio turut menegaskan bahawa pemakanan memainkan peranan lebih besar berbanding latihan dalam karier seorang pemain bola sepak profesional.

Menurutnya, ramai pemain kini lebih mudah mengalami kecederaan, sebahagiannya disebabkan jadual perlawanan yang padat termasuk aksi antarabangsa dan kejohanan domestik.

"Saya selalu katakan, 60 peratus kejayaan datang daripada diet dan 40 peratus daripada latihan. Tubuh manusia ibarat sebuah kereta.

"Anda mungkin memiliki kereta terbaik, tetapi jika menggunakan bahan api yang salah, prestasinya akan terjejas," ujarnya.

Tambah Giorgio, banyak masalah kecederaan sebenarnya berpunca daripada pemakanan yang tidak sesuai.

Cef tersebut turut menegaskan aspek diet perlu diberi perhatian serius, khususnya dalam kalangan pemain muda. -Agensi

Artikel Lain