SEORANG wanita berkongsi pengalaman pahit selepas kehilangan penglihatan akibat satu kesilapan yang dianggap remeh, iaitu memakai contact lens atau kanta lekap ketika mandi.Grace Jamison, 20, mendedahkan insiden itu berlaku ketika dia sedang bercuti di Republik Dominican, Caribbean bersama rakan-rakannya. Tanpa disedari, tindakannya itu telah mendedahkan matanya kepada Acanthamoeba, sejenis mikroorganisma yang lazim dijumpai dalam sumber air seperti paip dan kolam.Beberapa minggu selepas pulang ke Amerika Syarikat, dia mula mengalami simptom pada mata yang pada awalnya disangka masalah biasa.Namun, keadaannya tersalah diagnosis oleh pakar optometri yang memberinya titisan steroid, sekali gus menyebabkan jangkitan tersebut menjadi semakin serius.Dalam tempoh hanya seminggu, Grace kehilangan penglihatan sepenuhnya akibat jangkitan dikenali sebagai keratitis Acanthamoeba.Dia kemudian hidup dalam keadaan buta hampir dua bulan sebelum akhirnya menerima diagnosis yang tepat serta rawatan yang sepatutnya.Grace aktif berkongsi mengenai perjalanannya sebelum mengalami buta sebelah mata.Kini, dia tidak lagi mempunyai penglihatan pada mata kanan, manakala mata kiri pula menunjukkan sedikit perkembangan hasil rawatan berterusan.Sepanjang tempoh pemulihan itu, Grace aktif berkongsi perjalanan hidupnya di media sosial bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang risiko yang sering dipandang ringan."Ada yang tanya sama ada saya masih ada penglihatan sisi, tetapi malangnya tiada. Parut telah menutup keseluruhan anak mata kanan saya dan saya hanya mampu melihat cahaya," kongsinya.Walaupun berdepan cabaran besar dalam kehidupan harian, dia tetap kekal positif dan bersyukur dengan apa yang masih dimilikinya ketika ini.Dalam masa sama, Grace turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memakai kanta lekap ketika terdedah kepada air seperti ketika mandi, berenang mahupun berada di sauna.Selain itu, dia turut berkongsi beberapa langkah penjagaan asas yang sering diabaikan tetapi penting untuk kesihatan mata:1. Gunakan hanya cecair khas kanta lekap dan elakkan sama sekali menggunakan air paip.2. Tukar cecair dalam bekas kanta lekap setiap hari bagi mengelakkan pencemaran.3. Pastikan tangan dibasuh dan dikeringkan dengan sempurna sebelum menyentuh kanta.4. Elakkan tidur dengan kanta lekap kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan.Menurutnya, tabiat kecil yang sering dipandang remeh sebenarnya boleh membawa kesan besar dan berpanjangan terhadap kesihatan mata.