suria

Jangan sampai pekak! ‘Haramkan’ guna fon telinga waktu tidur, amal peraturan 60-60 jika tak mahu saraf rosak

Tidur sambil menggunakan fon telinga boleh memberi risiko pada pendengaran. -Gambar hiasan AI

MENDENGAR muzik melalui earphone atau fon telinga ketika menggunakan telefon pintar atau gajet sememangnya menyeronokkan. 

Malah, ramai menjadikan aktiviti ini sebagai peneman ketika bersenam, belajar, dalam perjalanan ke sesuatu destinasi, malah sebelum tidur.

Bagi sesetengah individu, tidur sambil mendengar muzik dianggap mampu membantu mengurangkan tekanan dan memberi rasa lebih relaks. 

Namun tanpa disedari, tabiat ini sebenarnya boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan, khususnya jika earphone terus dipakai sehingga tertidur lena.

Lebih membimbangkan, ada yang masih mendengar muzik melalui fon telinga walaupun selepas terjaga daripada tidur. 

Berikut antara sebab mengapa penggunaan fon telinga ketika tidur tidak digalakkan menurut EMC Healthcare:

Pengumpulan tahi telinga

Penggunaan earphone dalam tempoh lama, terutama sepanjang malam, boleh menolak tahi telinga lebih dalam ke saluran telinga. 

Lama-kelamaan, ia akan terkumpul dan menyebabkan rasa tidak selesa. 

Keadaan ini juga boleh mengurangkan sensitiviti pendengaran serta mencetuskan tinnitus atau bunyi berdengung dalam telinga.

Risiko jangkitan telinga

Pemakaian fon telinga terlalu lama boleh meningkatkan risiko jangkitan telinga. 

Ini kerana kelembapan dan kotoran yang terperangkap dalam telinga menjadi tempat pembiakan bakteria. 

Risiko menjadi lebih tinggi jika earphone sering dikongsi dengan orang lain.

Tidur yang berkualiti penting untuk mengekalkan kesejahteraan kesihatan. -Gambar hiasan AI

Tidur yang berkualiti penting untuk mengekalkan kesejahteraan kesihatan. -Gambar hiasan AI

Gangguan pendengaran

Kebanyakan earphone menghasilkan bunyi antara 95 hingga 108 desibel (dB), sedangkan tahap selamat bagi telinga manusia ialah sekitar 85 dB. 

Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat boleh merosakkan saraf telinga dan mengurangkan kepekaan pendengaran, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan pendengaran.

Gangguan kepada otak

Ketika tidur, tubuh berada dalam keadaan rehat namun tidak bagi otak jika anda masih mendengar muzik. 

Otak tidak dapat berehat sepenuhnya kerana terus menerima rangsangan bunyi. 

Dalam jangka panjang, pendedahan berterusan kepada gelombang elektromagnet daripada peranti audio dikatakan berpotensi memberi kesan kepada sel otak.

Risiko nekrosis

Nekrosis ialah keadaan kerosakan sel akibat aliran darah yang terhalang. 

Penggunaan earphone ketika tidur, terutama jika kedudukannya berubah-ubah, boleh menekan saluran telinga. 

Lama-kelamaan, ia boleh menyempitkan laluan dan mengganggu aliran darah, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan tisu.

Walaupun earphone banyak membantu dalam kehidupan seharian, penggunaannya perlu dikawal. 

Amalkan peraturan 60-60 iaitu hadkan kelantangan kepada 60 peratus daripada maksimum dan gunakan tidak lebih 60 minit pada satu masa.

Tip kurangkan risiko penggunaan earphone adalah seperti berikut:

1. Laraskan kelantangan pada tahap sederhana, tidak terlalu kuat

2. Hadkan tempoh penggunaan harian, terutama sebelum tidur

3. Simpan fon telinga di tempat bersih bagi mengelakkan pendedahan kepada habuk dan kotoran

Artikel Lain