suria

Nampak bersih tapi penuh kuman! Jangan ‘gatal’ beli seluar dalam bundle, risiko kudis buta menanti

Ramai yang suka membeli pakaian terpakai kerana dijual pada harga murah. -Gambar hiasan AI

PAKAIAN terpakai atau bundle mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana harganya lebih murah selain pilihan lebih pelbagai dan 'rare'.

Namun tidak semua sesuai digunakan semula khususnya pakaian dalam walaupun ia kelihatan baru dan bersih daripada sebarang kotoran.

Menurut Public Health Malaysia, ini kerana luaran yang kelihatan bersih tidak semestinya bebas daripada kuman dan bahan pencemar berbahaya apatah lagi ia dipakai secara langsung pada kawasan paling sensitif tubuh.

Walaupun dibasuh, fabrik pakaian dalam masih berpotensi menyimpan peluh, sel kulit mati, sisa cecair badan serta mikroorganisma seperti kulat, bakteria dan parasit tertentu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Keadaan ini boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuk kegatalan, ruam, iritasi pada kulit dan jangkitan kulat.

Dalam keadaan tertentu, ia juga berpotensi menyumbang kepada penularan penyakit kulit seperti kudis buta dan kutu.

Tambahan pula, kawasan sulit yang cenderung lembap menjadikan risiko jangkitan lebih tinggi sekiranya pakaian dipakai tidak benar-benar bersih.

Sehubungan itu, pakaian dalam tidak sesuai dikategorikan sebagai barangan untuk dijual atau digunakan semula. 

Aspek kebersihan tidak boleh dinilai sepenuhnya melalui pemerhatian luaran, lebih-lebih lagi bagi barangan yang bersentuhan rapat dengan tubuh.

Pengguna disarankan agar tidak mengambil risiko yang boleh menjejaskan kesihatan. 

Walaupun amalan berjimat cermat digalakkan, kebersihan diri khususnya melibatkan kawasan sulit tidak seharusnya dikompromi.

Artikel Lain