suria

Wanita hamil luar nikah buntu, cari tempat serah bayi... JPN kongsi langkah patut dilakukan, penting daftar kelahiran sebagai ibu tunggal

Ibu hamil perlu melindungi hak anak yang bakal dilahirkan. -Gambar hiasan

WANITA yang hamil luar nikah sering berada dalam keadaan buntu dan terdesak dalam membuat keputusan apatah lagi jika kandungan itu di luar pengetahuan keluarga. 

Disebabkan ketakutan juga ramai memilih membuang bayi mereka bagi mengelakkan kehadiran insan yang tidak berdosa itu diketahui.

Seorang wanita yang kini hamil tujuh bulan dan masih belum berkahwin tampil di laman sosial bertanya mengenai lokasi boleh menempatkan bayinya selepas dilahirkan menarik perhatian ramai.

Dakwanya, lelaki yang menghamilkannya enggan bertanggungjawab, justeru dia merancang untuk meletakkan bayi tersebut di tempat tertentu sebaik sahaja dia bersalin kelak.

Pertanyaan wanita itu turut mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) Pulau Pinang yang tampil memberi penjelasan dan nasihat berhubung tindakan yang wajar diambil. 

Menurut JPN, ibu berkenaan perlu mendaftarkan kelahiran anak terlebih dahulu sebagai ibu tunggal bagi memastikan bayi tersebut mendapat hak sebagai warganegara.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak meninggalkan bayi di tempat awam kerana tindakan itu boleh mengundang risiko keselamatan serta melibatkan implikasi undang-undang.

Sekiranya terdapat individu yang ingin mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat, proses boleh dilakukan secara sah selepas sijil kelahiran diperoleh, termasuk membuat akuan sumpah bagi penyerahan hak penjagaan.

JPN turut menasihatkan agar bayi yang dilahirkan diberi peluang untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan sempurna.

Dalam masa sama, turut diingatkan perbuatan zina adalah berdosa dalam Islam dan dituntut untuk menjauhi perkara tersebut.

Perkongsian ini bukan bertujuan menggalakkan perbuatan membuang bayi, sebaliknya sebagai usaha memberi kesedaran supaya bayi dilahirkan tidak terabai atau menjadi mangsa pembuangan tanpa belas kasihan.

Artikel Lain