PENDAKI Jaslinda Saludin sempat berkongsi nota ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ketika operasi mencarinya di Gunung Batu Putih, Perak selepas ditemui selamat pada Sabtu.Nota yang ditemui di Kem Air Busuk itu kemudian disimpan Jaslinda, 49, dan diserahkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penemuan nota berkenaan merupakan antara dapatan penting hasil perbualan bersama Jaslinda.ARTIKEL BERKAITAN: 14 hari hilang, Jaslinda akhirnya ditemui!ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Nak tunggu lama... takut” - Jaslinda jatuh banyak kali, kongsi pengalaman getir sepanjang 14 hari tersesatMenurutnya, nota itu ditinggalkan anggota SAR ketika operasi pencarian dari Pos Musoh ke Kem Air Busuk pada 30 Mei lalu.Katanya, antara kandungan nota yang ditinggalkan Malim Gunung Perhutanan (MGP) dikenali sebagai Hafiz ialah pesanan supaya Jaslinda kekal berada di satu lokasi bagi memudahkan usaha pencarian dilakukan."Kak Jas, please stay satu tempat. Orang ramai mencari akak," menurut kandungan nota berkenaan.Selain itu, terdapat juga nota yang menunjukkan arah menuju ke Kem Air Busuk bagi membantu mangsa sekiranya melalui kawasan tersebut.Antara nota ditinggalkan MGP ketika operasi mencari Jaslinda.Sabarodzi berkata, Jaslinda memaklumkan dia hanya tiba di kawasan itu pada 5 Jun lalu."Penemuan itu secara tidak langsung mengesahkan Jaslinda berada di sekitar kawasan yang menjadi fokus pencarian sepanjang operasi SAR dijalankan."Ia sekali gus membuktikan usaha pencarian dilakukan pasukan penyelamat berada di landasan yang tepat," katanya.Pada Sabtu, Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ditemui oleh Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh, Tapah selepas operasi SAR dijalankan selama hampir dua minggu.Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa melalui talian MERS 999 pada pukul 4.55 petang.