suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah ditemukan lemas, dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumah

Allahyarham dipercayai melakukan rutin mengubah keretanya sebelum kejadian berlaku.

BEKAS Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Mohd Jamil Md Idross, 78, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan, Alor Setar di Kedah pada Ahad.

Mayat mangsa yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor ditemukan pasukan bomba kira-kira pukul 8.10 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, pihaknya menerima makluman awal daripada keluarga mangsa yang mengesyaki Allahyarham terjatuh ke dalam sungai berjampiran rumah mereka.

Jelas Syed Basri, keluarga mangsa memaklumkan kali terakhir melihatnya kira-kira pukul 11.30 malam Sabtu, sebelum menyedari kehilangannya pada pukul 5 pagi tadi.

"Keluarga mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan selepas menemukan selipar miliknya berhampiran sungai tersebut," katanya.

Tambah Syed Basri, susulan operasi pencarian yang dilakukan, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira pukul 8.10 pagi.

"Mayat mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi beliau dipercayai terjatuh. Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui bagaimana mangsa boleh terjatuh ke dalam sungai," tambahnya.

Dalam pada itu Syed Basri berkata, rutin harian mangsa adalah mengalihkan kenderaan dari perkarangan rumah ke kawasan luar berhampiran sungai yang terletak bersebelahan kediamannya.

"Siasatan juga mendapati terdapat sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih yang dipercayai telah dialihkan oleh mangsa berhampiran sungai di lokasi kejadian. Turut ditemukan sepasang selipar yang disahkan milik mangsa di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes setakat ini diklasfikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Terdahulu, mangsa dipercayai baru keluar dari hospital kira-kira sebulan lalu dan mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis serta darah tinggi.

Mangsa juga pernah menerima rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru dan tinggal bersama isteri serta dua anak perempuan berusia 27 dan 29 tahun.

Untuk rekod, Allahyarham Mohd Jamil merupakan ADUN Pengkalan Kundor dari UMNO bagi tempoh 1995 hingga 1999 dan dari 2004 hingga 2008.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN ke-14 dari 2018 hingga 2023. 

Artikel Lain